CAREER DEVELOPMENT PLAN

PERJALANAN KERJAYA CIKGU NORLIDA....

DISEBALIK KISAH KERJAYA CIKGU

Cita-Cita sejak kecil.
Sejak dari kecil seawal usia 8 tahun, cikgu telah menanam cita-cita untuk menjadi seorang pensyarah. Namun, kerana masalah kewangan (kemiskinan keluarga) di Daerah Sabak Bernam, sementara menunggu keputusan SPM, cikgu telah bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Shah Alam. Dalam fikiran, untuk membantu keluarga, biarlah cikgu terus bekerja kilang sahaja. Namun, jiwa cikgu tidak sesuai dengan pekerjaan tersebut. Oleh itu, apabila ada tawaran pengajian Tingkatan 6, cikgu nekad untuk meneruskan pembelajaran di SMK Sungai Besar, Selangor. Nasib menyebelahi cikgu kerana bantuan biasiswa yang diterima sejak tingkatan 2 diteruskan di tingkatan 6. 

Pada suatu hari, semasa bekerja kilang, seseorang yang cikgu tidak kenali sehingga kini, telah bertanyakan melalui telefon sama ada ingin menjadi guru atau tidak? Ini kerana beliau ingin ke pejabat pos besar untuk membeli borang kemasukan ke maktab perguruan. Dengan rasa teruja cikgu berkata Ya!.. Tetapi siapakah dia???? Cikgu hanya mengenali beliau melalui gambar yang dikirimkannya.

Borang maktab dikirimkan ke kampung kerana cikgu telah berhenti kerja kilang dan meneruskan pembelajaran di tingkatan 6. Cikgu pun mengisinya dan Alhamdulillah dengan izin Allah s.w.t, cikgu telah ditawarkan untuk belajar di Maktab Perguruan Seri Kota Kuala Lumpur pada tahun 1995.


Menjadi Guru Sekolah Rendah
Perjalanan kerjaya cikgu bermula apabila mendapat penempatan ke SK Telok Pulai, Klang pada 5 Januari 1998. Ketika itu, usia cikgu 22 tahun dan sedang mengandungkan anak yang pertama. Pada tahun pertama cikgu bergelar guru, cikgu telah diberi tanggungjawab menjadi guru kelas tahun 4 Anggerik, tahun berikutnya menjadi Ketua Panitia sains; mengandungkan anak ke 2 dan Tahun ke 3 diberi tugas yang lagi besar iaitu Guru Penyelaras Pusat Sumber (Guru Media); mengandungkan anak ke 3 .😍. Sepanjang 3 tahun cikgu di SK Telok Pulai, cikgu mengajar sains dan matematik tahun 4, 5 dan 6.

Cuti Belajar Separuh Gaji

Tahun ke empat, iaitu 2001, cikgu telah memohon untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda. Ketika itu, suatu program yang dinamakan Program Khas Pensiswazahan Guru (PKPG) di iklankan. Tujuan program ini adalah untuk meningkatkan profesionalisme keguruan agar ke semua guru di sekolah menengah 100% mempunyai Ijazah sarjana muda. Cikgu telah berjaya dalam permohonan tersebut dan cikgu diberi cuti belajar separuh gaji. Dalam program tersebut, keseluruhan kursus perlu diselesaikan dalam masa 3 tahun. Satu tahun di maktab perguruan dan 2 tahun lagi di universiti tempatan. Cikgu telah ditawarkan Ijazah sarjana muda pendidikan sains di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Oleh itu, maktab perguruan yang cikgu perlu daftar adalah Maktab Perguruan Batu Rakit di Kuala Terengganu, Terengganu. Kursus 14 minggu perlu dihadiri sebelum program sebenar diikuti. Cikgu telah lulus dan layak meneruskan pengajian bermula tahun 2002. Tanpa suami di sisi cikgu membawa ketiga- tiga orang anak yang masih kecil ke Terengganu manakala suami bekerja di Klang, Selangor. Pada tahun 2003, cikgu kembali ke Klang, Selangor untuk meneruskan pengajian di UiTM, Shah Alam dan akhirnya menghadiri istiadat konvokesyen pada September 2005.



Menjadi Guru Sekolah Menengah
Walaupun istiadat konvokesyen lewat, tetapi cikgu perlu mendaftarkan diri setelah habis belajar pada 2005. Tarikh 16 April 2005, cikgu telah di tempatkan untuk kembali bertugas di sekolah menengah pula iaitu di SMK Convent, Klang, Selangor kerana telah tamat tempoh cuti belajar.

SMK Convent Klang adalah sekolah yang paling lama cikgu berkhidmat. Di sekolah ini cikgu telah diberi tugas dan tanggungjawab yang lebih besar. Antara amanah yang pernah diberikan adalah Ketua Panitia Kimia, Ketua Guru Disiplin, Pengerusi Kelab Guru, Guru Cemerlang Kimia, Setiausaha Akademik, Ketua Permainan Bola Jaring, Rumah sukan dan Unit uniform Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM). Disebabkan cikgu banyak memegang jawatan penting di sekolah, cikgu juga diamanahkan memegang jawatan di peringkat daerah dan negeri. Peringkat Daerah ; AJK PPIM Daerah, Setiausaha Majlis Guru Cemerlang (MGC) Daerah Klang, Setiausaha Displin Daerah Klang dan Jurulatih Utama (JU) Mata Pelajaran Sains dan Kimia manakala peringkat Negeri Selangor, cikgu menanggung tugas dan tanggungjawab sebagai AJK MGC Negeri Selangor, JU Sains dan Kimia Negeri Selangor dan lain-lain tugas di peringkat lembaga peperiksaan.


Sepanjang 11 tahun berkhidmat di SMK Convent Klang, cikgu mengajar mata pelajaran Kimia dan Sains tingkatan 4 dan 5. Kini, cikgu telah meninggalkan sekolah tersebut pada 5 September 2016. Permohonan cikgu untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana telah berjaya diluluskan dengan mendapat tawaran Cuti Belajar Bergaji Penuh dengan Biasiswa atau diberi nama lain, Hadiah Latihan Persekutuan (HLP). Sepanjang mengikuti program ini, cikgu diberi cuti mengajar selama 2 tahun dan perlu menyelesaikan tugas belajar sehingga tawaran ini tamat dan ijazah sarjana berada dalam genggaman.


Hadiah Latihan Persekutuan

Pembelajaran cikgu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) adalah sepenuh masa dalam mod penyelidikan dan kerja kursus. Oleh itu, cikgu perlu memberi tumpuan yang sepenuhnya agar mencapai kejayaan yang lebih cemerlang. Doakan agar cikgu dapat memanfaatkan kemudahan yang ada untuk cikgu lebih berjaya pada masa akan datang.

Perjalanan kerjaya cikgu sehingga mencapai tahap ini sebenarnya bukan mudah. Usaha berterusan dan bangkit setelah tersungkur tanpa berputus asa menjadikan cikgu semakin kuat dan cita-cita untuk menjadi pensyarah mungkinkah tercapai????? Jika dipanjangkan umur dan rezeki, cikgu telah berazam untuk menggenggam PhD pula selepas ini. InshaaAllah...





No comments:

Post a Comment